Ramai yang sudah menyederi konsep insurans hayat dan fungsinya. Dan jika anda tinggal di Malaysia, anda mungkin sudah pun tahu bahawa ianya jenis insurans yang sering kali disyorkan oleh ejen insurans.

Walaupun polisi hayat adalah perlindungan terbaik bagi kebanyakkan orang, ia tidak semestinya pilihan terbaik bagi segelintir yang lain. Sesetengah daripada mereka mungkin memiliki alasan tersendiri mengapa mereka tidak mahu memiliki polisi hayat. Manakala bagi yang selebihnya pula, mungkin tidak mempunyai pilihan.

 

Insurans hayat bukan milik semua

Antara beberapa sebab anda mungkin tidak dapat memiliki insurans hayat, atau tidak wajar mendapatkannya, adalah:

1. Usia anda

Polisi hayat pada amnya hanya dibuka kepada mereka yang berusia 60-65 tahun ke bawah. Ini tidak bererti ia tidak melindungi mereka yang melebihi usia itu. Sesetengah polisi hayat melindungi anda dan keluarga anda sehingga usia 100 tahun. Tetapi untuk mendapatkannya, anda perlu memilikinya sebelum usia tersebut.

Pada masa yang sama, premium polisi hayat meningkat dengan usia pemilik polisi. Pada usia 50 tahun contohnya, walaupun seseorang itu masih layak untuk dapatkannya, tetapi harga yang perlu dibayar adalah tinggi berbanding seseorang yang telah mendapatkannya sejak usia 20an.

2. Penyakit sedia ada dan sejarah perubatan keluarga

Permohonan bagi insurans hayat oleh mereka yang memiliki penyakit sedia ada (pre-existing condition) selalunya tidak akan diterima. Penyakit sedia ada berereti sebarang kecederaan, penyakit, simptom dan keadaan yang wujud sebelum tarikh berkuatkuasa polisi.

Contohnya seperti kanser, kencing manis atau penyakit jantung. Dalam situasi terbaik, syarikat insurans masih menerima permohonan untuk memiliki polisi hayat bagi mereka tetapi mengecualikan penyakit sedia ada ini dari liputan perlindungan mereka. Jadi sekirannya pemohon pernah memiliki penyakit kanser sebelumnya, polisi hayatnya mungkin akan dikecualikan penyakit ini. Ini bererti sekiranya dia meninggal dunia akibat kanser, polisinya tidak akan memberi pampasan kepada keluarganya.

Di atas sebab ini, kita sering dinasihatkan agar memiliki insurans hayat pada ketika usia muda. Iaitu di kala tubuh masih sihat dan risiko menghidapi penyakit masih rendah.

Selain daripada penyakit sedia ada, sebelum melayakkan pemohon, syarikat insurans juga perlukan sejarah perubatan keluarga si pemohon. Syarikat insurans akan menilai rekod perubatan keluarga anda untuk menentukan risiko anda menghidapi penyakit-penyakit tertentu.

3. Harga insurans yang tidak mampu milik

Harga insurans hayat, seperti insurans hayat seumur hidup mungkin agak tinggi terutamanya bagi golongan tertentu:

  • Berpendapatan rendah – Ramai di kalangan mereka yang berpendapatan rendah tidak mampu memiliki insurans hayat kerana harganya yang agak tinggi. Harga insurans hayat pada kebiasaannya bermula dari RM1000 hingga RM1200 setahun. Jumlah ini agak berat bagi mereka yang tidak berkemampuan. Dengan komitmen dan tanggungjawab sedia ada, polisi hayat tidak menjadi keutamaan bagi golongan ini.
  • Usia lanjut atau yang memiliki penyakit sedia ada/ sejarah perubatan keluarga – Walaupun seperti yang sudah disebut, golongan ini tidak semestinya ditolak terus permohonan untuk memiliki polisi hayat, tetapi bagi mereka, harga polisi menjadi terlalu tinggi di atas sebab risiko yang ditanggung mereka.

 

Apakah alternatif kepada Insurans Hayat?

Jika anda tergolong di dalam kumpulan yang tersebut di atas, yang masih ingin mendapatkan perlindungan terutama terhadap kematian, ini salah satu pilihan yang ada.

 

Insurans Kemalangan Diri sebagai alternatif kepada Insurans Hayat

Apa itu insurans kemalangan diri

Insurans kemalangan diri (KD) adalah insurans tahunan yang memberikan pampasan sekiranya berlaku kecederaan, hilang upaya atau kematian akibat kemalangan.

Contohnya jika pemegang polisi kehilangan fungsi anggota badan akibat kemalangan lalu dibuang kerja, polisi ini dapat melindungi pemegang polisi dan keluarganya dari terputus punca pendapatan. Ia juga memberikan pampasan kepada keluarga pemegang polisi ke atas kematian beliau akibat kemalangan.

KD tidak memberi pampasan terhadap kematian jenis semulajadi. Dan di atas sebab ini, ia tidak sesuai dijadikan satu-satunya perlindungan bagi ahli keluarga yang ditinggalkan. Walaupun ianya lebih sesuai sebagai tambahan kepada polisi hayat, tetapi bagi yang tiada kelayakan, KD boleh dijadikan alternatif.

Walau bagaimanapun, KD memiliki kelebihan-kelebihan tersendiri, di antaranya:

 

Kelebihan Insurans Kemalangan Diri

1. Boleh didapati di usia tua

Kebanyakan syarikat insurans dan pengendali takaful tidak memberikan polisi hayat setelah usia 60-65 tahun. Tetapi bagi KD, ianya masih boleh didapati di usia yang lebih tua. Contohnya, Syarikat Takaful Malaysia menawarkan myClick PA iaitu pelan KD mereka sehingga usia 70 tahun.

2. Tidak perlu pemeriksaan kesihatan dan sejarah perubatan keluarga

Mereka yang tidak layak memohon insurans hayat kerana penyakit sedia ada dan sejarah perubatan keluarga masih boleh mendapatkan pelan KD. Maka, tiada lawatan ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan diperlukan, dan tiada soalan mengenai sejarah keluarga pemohon.

3. Lebih mampu milik

Insurans kemalangan diri adalah lebih murah berbanding insurans hayat kerana liputannya yang terhad. Sebagai contoh, pelan KD yang ditawarkan oleh Allianz bagi pemohon berusia 60 tahun dengan perlindungan tahunan sebanyak RM 120,000 adalah RM189 setahun. Pelan insurans hayat bagi jumlah perlindungan yang sama dikenakan premium lebih RM 2,000 setahun.

Tetapi perlu diingatkan bahawa ini bukanlah satu perbandingan yang adil. Kos insurans hayat lebih tinggi setimpal dengan liputan perlindungannya yang jauh lebih komprehensif.

4. Jangka masa pendek

Satu lagi kelebihan pelan KD adalah ianya berjangka masa pendek berbanding polisi hayat. Polisi hayat ditawarkan sekurang-kurangnya selama 5 tahun, manakala pelan KD adalah pelan tahunan. Ini memberikan fleksibiliti kepada pemegang polisi dan juga komitmen yang lebih rendah. Tidak perlu risau jika masih mampu menanggung premium bulanan jika kehilangan kerja di masa akan datang dan terbatalnya polisi yang telah lama ditanggung.

5. Meliputi sukan lasak

Kebanyakkan pelan insurans hayat mengecualikan pampasan terhadap aktiviti dan sukan lasak. Contohnya kemalangan yang diakibatkan sukan payung terjun. Tetapi terdapat pelan KD khusus yang boleh didapati yang meliputi risiko sebegini, dengan kos tambahan.

Contohnya, Shield Personal Accident yang ditawarkan Allianz meliputi sukan seperti scuba diving dan bungee jumping.

 

Polisi Kemalangan Peribadi bukan pengganti Polisi Hayat

Walaupun memiliki kelebihan-kelebihannya yang tersendiri, insurans kemalangan diri tidak wajar dijadikan pengganti perlindungan hayat. Beberapa perbezaan yang ketara di antara kedua-dua pelan yang nyata adalah kelemahan pelan KD berbanding polisi hayat adalah:

1. Tiada pampasan terhadap kematian semulajadi

Pelan KD hanya memberikan pampasan terhadap kematian akibat kemalangan. Tiada pampasan terhadap kematian semulajadi: iaitu kematian yang diakibatkan oleh penyakit atau usia tua. Contoh sekiranya pemegang polisi meninggal dunia kemalangan akibat diserang jantung ketika memandu, keluarganya tidak akan dapat pampasan melalui pelan KDnya.

2. Tiada nilai tunai atau bonus

Tidak seperti insurans hayat yang menawarkan nilai tunai atau cash value, pelan KD tidak memberikan apa-apa wang simpanan. Juga tidak seperti polisi kenderaan yang memberikan bonus tiada tuntutan (NCD) jika tiada tuntutan dibuat ketika tempoh polisi sebelumnya.

3. Tiada pelepasan cukai

Di Malaysia, sesetengah pelan perlindungan diberikan pelepasan cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri. Contohnya, pelan insurans hayat diberikan pelepasan sebanyak RM6,000. Manakala pelan pendidikan dan perubatan pula mendapat pelepasan sebanyak  RM3,000. setahun. KD pula tidak diberikan sebarang pelepasan.

 

insurans kemalangan diri

 

 

Arikel ini harap dapat membantu memberi sedikit pencerahan terhdap pilihan yang dimiliki sekiranya pembaca tiada kelayakan untuk dapatkan perlindungan insurans hayat. Sebaiknya pembaca melakukan sedikit kajian sebelum menentukan polisi yang ingin dimiliki. Dapatkan nasihat pakar insurans dan takaful kerana keperluan masing-masing adalah berbeza. Atau jika mempunyai soalan, poskan ke forum insurans di sini.

 

 

15,287 total views, 32 views today

Spread the love
  • 39
    Shares
  • 39
    Shares