Bagi mereka yang tidak pernah berada dalam situasi ini, langkah-langkah yang perlu diambil ketika berlakunya kemalangan jalanraya mungkin dianggap mudah. Namun hakitkatnya, ia sebenarnya tidak sebegitu mudah.

Ini adalah situasi dan keadaan yang berbeza-beza dari satu kejadian kepada yang lain. Dan walaupun anda mungkin fikir anda tahu apa yang perlu dilakukan sekarang, apabila menghadapi masalah sebenar, perkara mungkin menjadi agak berbeza.

Oleh itu, ianya penting bagi kita untuk memahami sepenuhnya langkah-langkah yang perlu diambil. Apa yang perlu anda lakukan di tempat kejadian? Bagaimana menghadapi pihak yang terlibat dan pengendali trak tunda di tempat kejadian? Apakah prosedur di balai polis dan cara memfailkan tuntutan insurans?

Untuk mencapai matlamat ini, kami di iBanding akan memecah seluruh prosedur ke dalam proses yang lebih ringkas supaya pembaca dapat memahami dengan lebih terperinci setiap langkah yang terlibat.

 

Bahagian 1: Apa yang perlu dilakukan di tempat kejadian

1. Tenangkan diri

Biasanya selepas kedengaran bunyi “bang”, reaksi pertama ialah PANIK! Tapi jangan. Anda perlu tenangkan diri dan kekal sopan sepanjang kejadian.

  • Kekal di dalam kereta jika anda dapati diri anda mula panik
  • Ambil beberapa nafas panjang dan dalam dan beritahu diri anda bahawa segalanya dalam keadaan terkawal
  • Apabila anda sudah bersedia (jangan terlalu lama), keluar dari kereta anda dan lihat sekeliling dan fahami apa yang berlaku
  • Anda mungkin akan didekati oleh pihak lain yang terlibat. Jangan panik, yakinkan diri
  • Jangan mengakui kesalahan (jika pun ianya memang kesalahan anda)
  • Elakkan dari membuat rundingan dengan pihak lain yang terlibat
  • Jangan bersetuju untuk menerima atau menawarkan penyelesaian, bincang terlebih dahulu dengan ejen insurans anda, syarikat insurans atau Pusat Bantuan Kemalangan (AACC) untuk mendapatkan nasihat
  • Jangan menandatangani apa-apa! Walaupun mereka mengatakan mereka dari syarikat insurans anda!

 

Cara untuk berurusan dengan pihak yang lain

Berurusan dengan pihak lain yang terlibat bukan perkara mudah. Anda tidak tahu apa yang diharapkan oleh mereka. Sesetengah orang tenang dan rasional. Sementara yang lain tidak begitu. Apapun keadaannya, ianya penting untuk kekal tenang. Bersikap sopan. Cuba elakkan pergaduhan, dan jangan pula mula menyalahkan orang lain.

Anda tidak perlu menjadi hakim dan memutuskan siapa yang salah dan siapa yang betul. Sekiranya anda mengetahui dengan pasti kemalangan itu adalah kesalahan anda, minta maaf, dan dengan tenang beritahu pihak yang terlibat bahawa anda akan membuat laporan polis dan yang terbaik adalah dia melakukan perkara yang sama.

INGAT! Laporan polis perlu dibuat dalam masa 24 jam dari kejadian!

 

Bagaimana jika pihak lain tidak bekerjasama dan melarikan diri?

Hubungi ejen insurans anda dan/ atau syarikat insurans anda dan dapatkan nasihat mereka mengenai apa yang perlu dilakukan seterusnya. Biasanya orang tidak akan melarikan diri dari tempat kejadian kecuali ianya jelas kesalahan mereka.

Jika anda berjaya mencatatkan nombor pendaftaran kereta mereka, anda akan dapat menuntut dari syarikat insurans mereka. Tapi proses kini menjadi  lebih sukar kerana mereka tidak bersedia untuk bekerjasama. Jadi dalam apa jua keadaan, pastikan bahawa anda dapatkan nombor pendaftaran kereta, dengan ini anda boleh memfailkan laporan polis. Syarikat insurans kereta anda akan mengendalikan kes itu dan ejen yang cekap dapat membantu anda.

 

2. Buat penilaian

Perhatikan tempat kejadian untuk memahami perkara berikut:

  • Apa sebenarnya yang telah berlaku?
  • Siapakah yang terlibat?
  • Berapa banyak kereta yang kemalangan?
  • Siapa yang langgar siapa?

Cuba juga untuk melihat sama ada sesiapa telah melakukan sebarang kesalahan trafik yang mungkin mengakibatkan kemalangan itu. Seperti memotong di kawasan double line, atau membuat pusingan-U yang menyalahi undang-undang.

 

3. Ambil maklumat dan keterangan

Kumpulkan seberapa banyak maklumat yang anda boleh, tetapi beberapa perkara yang penting adalah seperti berikut:

  • Tarikh dan masa kejadian
  • Nama-nama pihak yang terlibat
  • Nombor IC mereka
  • Nombor telefon
  • Lesen memandu
  • Nombor pendaftaran kereta setiap pihak

Dengan hampir semua orang yang memiliki telefon bimbit pada hari ini, ianya mudah untuk mengambil gambar sebagai bukti. Ambil gambar yang diperlukan kemudian gerakkan kereta anda ke tepi jalan segera jika ia menghalang aliran lalu lintas.

Anda mungkin mahu mengambil gambar tempat kejadian, lokasi, kedudukan kereta dan maklumat berguna yang lain. Maklumat ini boleh digunakan sebagai bukti untuk menentukan siapa yang bersalah. Jadi anda perlu mengambil masa anda untuk melihat dengan tenang. Jangan gopoh.

 

4. Hubungi ejen insurans anda atau talian bantuan syarikat insurans

Terdapat beberapa sebab mengapa anda mungkin mahu hubungi ejen insurans atau syarikat insurans anda:

  • Anda mungkin masih berada dalam keadaan terkejut, bercakap dengan seseorang yang berada di pihak anda boleh membantu untuk menenangkan anda.
  • Terangkan apa yang telah berlaku dan dapatkan nasihat mengenai apa yang perlu dilakukan seterusnya.
  • Tanya ejen / syarikat insurans anda bagi perkhidmatan trak tunda panel untuk digunakan dan bengkel terdekat. Biasanya talian bantuan insurans anda akan dapat menghantar trak tunda ke tempat kejadian untuk membantu anda menunda kereta anda ke bengkel panel.

 

5. Trak tunda

Sekarang dengan tiba-tiba anda akan melihat trak-trak tunda di tempat kejadian, dan mereka pula cuba meyakinkan semua orang yang terlibat, termasuk anda, bahawa mereka boleh membawa kereta anda ke bengkel yang berdekatan. Sekali lagi, kekal tenang.

Di Malaysia ni, syarikat-syarikat trak tunda suka memaksa terutama mereka yang dalam keadaan terdesak setelah kemalangan. Dan di bandar-bandar seperti KL, mereka akan muncul di tempat kejadian dengan pantas. Tak memberi peluang kepada mangsa kemalangan untuk berfikir panjang.

Sering mangsa kemalangan ditipu oleh operator trak tunda yang mengambil kesempatan terhadap mereka yang telah berkemalangan. Pernah menjadi kes di mana mereka bukan sahaja menipu wang mangsa sebanyak beribu-ribu ringgit tetapi juga mengancam nyawa mangsa.

Jadi anda perlu berhati-hati apabila berurusan dengan pengendali trak tunda ini. Pastikan anda tidak menjadi mangsa seterusnya. Sila baca artikel seterusnya tentang bagaimana menangani pengendali trak tunda dan apakah langkah seterusnya yang perlu anda ambil selepas kemalangan.

Good luck pembaca!

 

 

Jangan lupa untuk “Like ” laman Facebook kami untuk mendapatkan artikel terbaru kami setiap minggu!

112,198 total views, 23 views today

Spread the love
  • 110
    Shares
  • 110
    Shares