Liberalisasi Tarif Insurans Kenderaan

Liberalisasi Tarif Insurans Kenderaan

Click here for English

 

Liberalisasi Tarif Insurans Kenderaan akan dilaksanakan mulai 1 Julai 2017. Ini bermakna harga insurans kenderaan tidak lagi akan dikawal oleh Bank Negara Malaysia tetapi akan diputuskan oleh setiap syarikat insurans masing-masing. 

iBanding adalah sebuah syarikat bebas yang menyediakan pendidikan bagi orang ramai tentang liberalisasi tarif ini untuk meningkatkan kesedaran pengguna tentang perubahan yang bakal dialami.

Apa itu Liberalisasi Tarif?

Industri ditarif adalah di mana sesebuah badan kerajaan menentukan tarif harga barangan atau pun perkhidmatan. Manakala liberalisasi tarif adalah penghapusan tarif bagi sesebuah industri, sama ada berkenaan harga barangan atau perkhidmatan mahupun sesuatu syarat atau terma perniagaan.

Bagi rakyat Malaysia, contoh terbaik bagi industri yang ditarif adalah petrol dan diesel di mana ianya dikawal oleh kerajaan. Ini bermakna, mana-mana sahaja stesen petrol yang pengguna kunjungi, harga barangan ini adalah sama sahaja.

Contoh mudah bagi sesuatu barangan yang tidak ditarif adalah seperti sebungkus nasi lemak. Setiap penjual dibenarkan meletakkan harga sendiri. Malah penjual boleh mengenakan harga berlainan bagi dua pembeli yang berlainan.

Mengapa perlu laksanakan Liberalisasi Tarif terhadap insurans kenderaan?

Selama lebih 30 tahun, Bank Negara Malaysia telah mengawal harga yang perlu ditetapkan oleh setiap syarikat insurans dan takaful bagi insurans kenderaan. Pengawalan ini menjadikan harga insurans yang dibeli dari mana-mana syarikat adalah sama, atau lebih kurang sama. Walau bagaimanapun, perbezaan harga masih mungkin terdapat di antara syarikat-syarikat yang disebabkan oleh faktor seberti Loading dan Packaging, tetapi asas harga adalah serupa. 

Kos yang terlalu tinggi

Akan tetapi, pengawalan harga ini telah menyebabkan jurang yang lebar antara premium yang dikutip oleh syarikat insurans dan tuntutan yang dibayar kepada pemegang polisi. Misalannya, bagi setiap ringgit premium Polisi Pihak Ketiga yang diterima, pihak syarikat insurans dan takaful membayar sebanyak RM 1.30 sehingga RM 3.00. Menjadikan perniagaan polisi Pihak Ketiga semakin tidak mampan. 

Contoh nasi lemak:

Kerajaan menetapkan harga sebungkus nasi lemak sebanyak RM 1.00. Tetapi harga barangan untuk ramuannya adalah sebanyak RM 1.30 sehingga RM 3.00. Jadi bagi setiap bungkus nasi lemak yang dijual, penjual menanggung rugi. Penjual mungkin masih boleh bertahan kerana barangan lain yang dijualnya yang masih mendatangkan untung, seperti teh tarik misalannya.

 

Harga perlu adil dan setimpal

Satu lagi sebab mengapa perlunya dilaksanakan liberalisasi tarif insurans bagi kenderaan bermotor ialah harga insurans dan takaful kenderaan tidak sepatutnya harga bergantung kepada kenderaan sahaja, tetapi risiko pemandu itu sendiri. Profil risiko pemandu menggambarkan risikonya dalam mengalami kemalangan jalan raya. Lebih tinggi risiko seseorang pemandu, lebih tinggi kebarangkalian beliau untuk terlibat dalam kemalangan.

Pemandu berisiko tinggi menyebabkan kos yang tinggi terhadap syarikat insurans dan takaful kerana syarikat perlu membayar tuntutan insurans. Maka wajarlah bagi pemandu berisiko tinggi membayar harga insurans lebih tinggi berbanding mereka yang berisiko rendah. Harga insurans yang ditetapkan oleh faktor risiko seperti ini lebih adil kepada semua pihak.

Contoh nasi lemak:

Peniaga nasi lemak yang berniaga di komplek membeli-belah menanggung kos yang lebih tinggi disebabkan sewa yang mahal, bil air dan api yang lebih tinggi. Kos yang lebih tinggi ini berbanding kos berniaga di tepi jalan bererti peniaga di komplek membeli-belah perlulah menetapkan harga yang lebih tinggi bagi setiap bungkus nasi lemak yang dijual.

Apa itu Liberalisasi Tarif secara berperingkat (Phased Liberalisation)?

Pelaksanaan liberalisasi tarif insurans kenderaan akan berlaku secara berperingkat – rujuk roadmap yang telah dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia.

Fasa pertama bermula pada 1 Julai 2016 – di mana syarikat insurans dan takaful dibenarkan untuk mula memperkenalkan produk baru pada harga pasaran. Tiada perubahan dikenakan bagi polisi Komprehensif, Pihak Ketiga dan juga Pihak Ketiga, Kebakaran dan Kecurian. 

Fasa kedua akan bermula pada 1 Julai 2017 – Liberalisasi tarif insurans kenderaan di mana harga bagi polisi Komprehensif dan Pihak Ketiga Kebakaran dan Kecurian akan ditetapkan oleh syarikat berdasarkan profil risiko pemandu/ pemegang polisi. Walau bagaimanapun, polisi Pihak Ketiga akan alami perubahan secara beransur-ansuran.

Apa yang boleh dijangkakan mulai 1 Julai 2017?

Ada beberapa perkara yang boleh kita jangka akan berlaku selepas pelaksanaan liberalisasi tarif insurans mulai 1 Julai 2017:

1. Syarikat insurans dan takaful akan mengenakan harga insurans berdasarkan profil risiko pemegang polisi.  Beberapa faktor yang menentukan profil risiko seseorang adalah:  jantina, umur, pengalaman memandu, pekerjaan, tempat tinggal, jenis dan kegunaan kenderaan.

2. Bertambahnya produk-produk baru dan produk tambahan kepada polisi asas yang akan diperkenalkan di pasaran untuk memenuhi citarasa dan keperluan pengguna. Syarikat insurans dan takaful menggunakan produk baru ini untuk bersaing antara satu sama lain.

3. Saingan sengit dijangka dialami syarikat-syarikat insurans dan takaful yang akan membawa kepada peningkatan mutu perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelanggan.

Apakah impak Liberalisas Tarif terhadap pengguna?

Mengikut sistem sedia ada, hanya maklumat kenderaan yang diambil kira dalam pengiraan harga insurans kenderaan. Faktor-faktor yang menetapkan harga insurans adalah:

a) harga pasaran kenderaan

b) saiz injin kenderaan (dalam cc)

Walau bagaimanapun, terdapat 2 lagi faktor yang mungkin akan menjejaskan harga insurans, ianya adalah faktor ‘loading’ dan ‘packaging’. Loading dan packaging ditentukan oleh syarikat insuran masing-masing yang menyebabkan perbezaan harga antara satu syarikat dengan yang lain. Akan tetapi perbezaan harga mungkin kecil.

Setelah pelaksanaan liberalisasi tarif insurans setiap syarikat akan menentukan kaedah pengiraan harga insurans tersendiri. Ini mungkin akan menyebabkan perbezaan harga yang besar. Jadi ianya kritikal bagi pengguna untuk membuat perbandingan harga dan produk sebelum membeli polisi daripada mana-mana syarikat. Pengguna perlu bijak dalam memilih syarikat yang bukan sahaja boleh menawarkan polisi pada harga berpatutan tetapi juga produk yang paling sesuai mengikut keperluan.

Apa yang perlu dilakukan oleh pengguna?

1. Fahami tentang jenis-jenis polisi dan perlindungan yang ditawarkan setiap satu, dan juga ketahui jenis polisi manakah yang anda miliki sekarang

Pemahaman anda terhadap jenis-jenis polisi dan perlindungan setiap jenis polisi akan membantu anda mengenal pasti jenis perlindungan yang anda perlukan. Ini akan membantu anda menjadi pengguna yang lebih bijak terutama dalam membuat perbandingan produk dan syarikat setelah pelaksanaan liberalisasi tarif insurans nanti.

Mulakan dengan artikel ini yang menerangkan jenis polisi dan jenis perlindungan yang ditawarkan.

2. Buat berbandingan harga

Pengguna yang bijak akan buat perbandingan antara syarikat-syarikat insurans untuk mengenal pasti syarikat yang tawarkan produk yang bersesuaian pada harga yang berpatutan dan memenuhi bajet anda. Ingat: profil risiko anda akan menentukan harga yang akan anda bayar bagi insurans kenderaan anda. Setiap syarikat mungkin akan menilai risiko anda dengan cara berlainan yang akan menyebabkan perbezaan harga yang ketara. Anda mungkin tidak dapat membuat banding setiap syarikat yang ada. Jadi dapatkan nasihat ejen-ejen insurans yang mewakili syarikat-syarikat yang berlainan.

 3. Pastikan kenderaan anda selamat

Sentiasa pastikan ianya berkunci. Auto-lock berfungsi dengan baik, juga pasangkan dash-cam jika mampu. Semakin selamat kenderaan anda, semakin kurang risiko anda, maka semakin murahlah harga insurans anda.

4. Berfikir sebelum membeli kenderaan baru

Sebelum membeli mana-mana kenderaan, periksa dahulu harga insuransnya. Harga insurans bagi kereta berprestasi tinggi dan kereta sport adalah lebih mahal bukan sahaja kerana nilai mereka yang tinggi tetapi juga risiko kemalangan jalanraya juga lebih tinggi.

5. Pandu dengan cermat dan selamat!

Harga insurans kenderaan akan meningkat jika anda pernah membuat tuntutan daripada syarikat insurans. Jadi pandu cermat dan elakkan kemalangan. 

Saya berharap pengguna akan sedar bahawa liberalisasi tarif insurans ini akan memberi kesan kepada penghidupan mereka. Jika pengguna memilih untuk memandu dengan cermat, ini akan bantu menjimatkan wang mereka.

                                                               Anthony Lee, Pengerusi Persatuan Insurans Am MalaysiaPIAM)

More articles

Videos

Spread the love
  • 52
    Shares
  • 52
    Shares