Kurang 2 bulan sahaja lagi liberalisasi berfasa tarif insurans dan kebakaran akan dilaksanakan di Malaysia. Kita bakal berhadapan dengan suatu perubahan yang sangat besar di dalam industri insurans dan Takaful. Ia akan memberi implikasi kepada kita semua yang memiliki kenderaan bermotor. Di sini ada 7 perkara yang perlu kita ketahui:

 

Liberalisasi Berfasa Tarif Kenderaan dan Kebakaran – Apa yang perlu anda ketahu:

1. Apakah ertinya – Liberalisasi Berfasa Tarif bermakna Bank Negara Malaysia yang selama ini mengawal harga polisi insurans kenderaan dan kebakaran tidak lagi akan berbuat demikian. Ini bererti syarikat insurans dan Takaful boleh menetapkan harga polisi masing-masing.

 

2. Tarikh pelaksanaanLiberalisasi berfasa ini akan dilaksanaakan dengan berperingkat. Fasa pertama bermula 1hb Julai 2016 lalu, di mana syarikat insurans dan Takaful sudah boleh memperkenalkan produk-produk insurans kenderaan mengikut harga pasaran yang tidak lagi ditarif. Fasa kedua akan dilaksanakan pada 1hb Julai 2017. Di sini kita akan mula rasa impaknya kerana harga insurans kenderaan kita tidak lagi akan sama dengan tahun-tahun sebelumnya. Akan tetapi, polisi Pihak Ketiga tidak akan berubah dengan pelaksanaan ini. Ianya hanya akan diubah secara gradual.

 

3. Mengapa ia dilaksanakan – Perubahan ini adalah sesuatu yang perlu dilakukan memandangkan kos bagi polisi Pihak Ketiga yang sangat tinggi bagi syarikat insurans dan Takaful. Kos ini tidak seimbang dengan premium yang diterima. Kos tuntutan sebenar yang ditanggung oleh syarikat insurans dan Takaful pada masa ini ialah RM 1.30 – RM 3.00 bagi setiap RM 1.00 premium yang diterima. Liberalisasi tariff juga akan memperkenalkan harga yang lebih adil dan seimbang bagi pengguna di mana pemandu berhati-hati dan selamat akan dikenakan harga insurans yang lebih rendah berbanding pemandu bahaya yang berisiko tinggi. Konsep ini bukanlah sesuatu yang baru malah ianya telah pun dipraktikkan di banyak negara selama bertahun-tahun.

 

4. Harga – Harga insurans dan Takaful kenderaan di bawah liberalisasi tarif akan mengambil kira faktor risiko pemandu. Ini berbeza dengan sistem sedia ada di mana hanya faktor kenderaan yang menentukan harga (size enjin dan harga pasaran kenderaan). Kerana harga yang telah ditarif, harga yang kita dikenakan selama ini adalah lebih kurang sama sahaja tidak kira dari syarikat mana kita dapatkan polisi insurans dan Takaful kenderaan kita.

 

5. Pengiraan premium berdasarkan profil risiko – Profil risiko pemandu memberi gambaran atau kebarangkalian seseorang pemandu melakukan tuntutan terhadap polisi insuransnya dan jumlah tuntutan yang akan dibuat. Faktor yang akan menentukan profil risiko termasuk: Jantina, pengalaman memandu, rekod tuntutan, kawasan kediaman, pekerjaan, jenis kenderaan dan model, pengunaan kenderaan, dan rekod kesalahan trafik. Di bawah liberalisasi tarif, syarikat insurans dan Takaful akan melihat profil risiko pemegang polisi untuk menentukan harga yang akan dikenakan. Ini bererti, pemandu berisiko rendah akan dikenakan harga lebih rendah.

 

6. Apa yang dijangkan akan berlaku – Selain dari perubahan dari segi harga insurans, kita boleh jangkakan persaingan hebat di kalangan syarikat insurans dan Takaful dengan pelaksanaan liberalisasi berfasa tarif insurans ini. Syarikat insurans dan Takaful akan bersaing dengan cara memperkenalkan produk-produk baru yang akan menarik pelanggan dan juga meningkatkan profesionalism mereka untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik. Ini akan menguntungkan pengguna.

 

7. Peranan pengguna – Faktor yang paling diutamakan oleh pengguna adalah harga insurans, mutu perkhidmatan yang diberikan oleh syarikat insurans dan juga perlindungan polisi insurans. Dengan pelaksanaan ini, harga polisi serta produk yang ditawarkan oleh setiap syarikat akan berbeza-beza. Maka wajarlah bagi pengguna untuk mula membuat bandingan sebelum menentukan polisi, harga dan syarikat yang bersesuaian. Sebelum tamatnya tempoh polisi sedia ada anda, dapatkan perkhidmatan beberapa orang ejen dan bandingkan beberapa syarikat dan polisi.

 

Ingin tahu lebih lagi tentang liberalisasi berfasa? Klik di sini!

 

 

2,670 total views, 20 views today