Apabila membincangkan tentang kad perubatan, tidak dapat kita lari dari soalan – standalone atau rider? Bagi yang tiada masa untuk mengkaji perbezaannya, kami sedia memberi sedikit pencerahan ringkas. Harap ia dapat membantu pemahaman pembaca sejurus menyedarkan akan kepentingan kad perubatan sebagai perlindungan diri dari segi kewangan.

Kad Perubatan Standalone dan Rider Infografik

Kongsikan Infografik ini di laman web anda!

 

 

Fahami kad perubatan

Kad perubatan adalah kad yang dikeluarkan syarikat insurans atau pengendali takaful setelah permohonan bagi pelan perubatan diluluskan. Kad perubatan ini memudahkan pendaftaran masuk ke mana-mana hospital yang menjadi panel kepada pelan yang telah dipilih. Dengan memiliki kad ini, pesakit tidak perlu membayar kos rawatan dan perubatan yang diterima (selagi ianya terkandung di dalam liputan perlindungan pelan). Segala kos berkenaan akan ditanggung oleh syarikat insurans pesakit.

Terdapat beberapa jenis kad perubatan, tetapi yang sering disebut adalah standalone dan rider.

 

Apa itu kad perubatan standalone?

Kad perubatan standalone adalah pelan perubatan hanya melindungi manfaat perubatan di hospital. Ia bukan suatu pelan yang disertakan kepada apa-apa pelan asas atau pelan induk. Jadi caruman yang disumbangankan hanyalah terhadap manfaat perubatan sahaja. Dengan itu, caruman pelan standalone pada kebiasaannya lebih murah dan mampu milik.

Pada amnya, terdapat 3 jenis manfaat yang diliputi di dalam pelan kad perubatan standalone, iaitu:

1. Kos kemasukan hospital dan penjagaan pembedahan

Ini termasuklah segala kos yang berkenaan dengan kemasukan ke wad hospital, pembedahan, bilik dan penginapan, perkhidmatan ambulan, ubat-ubatan, kos rundingan pakar dan sebagainya.

2. Penyakit kritikal

Penyakit kritikal adalah penyakit-penyakit khusus yang disenaraikan oleh syarikat insurans atau pengendali takaful. Pada kebiasaannya mereka akan mengkategorikan 36 jenis penyakit sebagai penyakit kritikal, di antaranya, kanser, strok, serangan jantung dan penyakit koronari arteri. Kos rawatan bagi penyakit-penyakit kritikal ini adalah amat tinggi maka perlindungan kad perubatan amat diperlukan.

3. Rawatan jangka panjang

Manfaat ini berguna terutama bagi mereka yang menghidapi penyakit kronik yang mana mereka memerlukan rawatan dan penjagaan jangka masa panjang. Ini termasuklah pesakit kanser dan pesakit puah pinggang yang memerlukan rawatan dialisis berpanjangan.

 

Bagaimana ia dipakej

Kebanyakan syarikat insurans dan pengendali takaful di Malaysia menyediakan ketiga-tiga manfaat disebut di atas secara berasingan atau bersama. Pencarum akan menerima kad perubatan yang membolehkan mereka mendaftar masuk ke wad hospital dengan mudah. Sesetengah pelan perubatan juga membolehkan kad ini digunakan di klinik untuk rawatan.

Pelan perubatan standalone memberikan perkhidmatan seperti bilik dan penginapan hospital, perlindungan seumur hidup tanpa had, rawatan bagi penyakit kanser, buah pinggang, pembedahan dan lain lain.

 

Kadar Sumbangan dan Pembaharuan Pelan Standalone

Kadar sumbangan tahunan bagi pelan standalone adalah rendah, tetapi ianya tidak tetap. 2 faktor utama yang menyebabkan kenaikan kadar ini adalah

  • Usia –  di mana semakin meningkat usia seseorang, semakin tinggi risiko menghidapi penyakit, semakin tinggi kadar caruman
  • Inflasi perubatan – kos perubatan yang meningkat setiap tahun pada kadar inflasi 10% di Malaysia. Menurut laporan tahunan kadar perubatan Aon 2016, purata peningkatan inflasi di negara-negara Asia adalah pada kadar 9.4% manakala di Malaysia adalah pada kadar 14%. Syarikat insurans pula biasanya menyemak semula harga insurans setiap 2 hingga 3 tahun.

Pada kebiasaannya, kadar sumbangan meningkat setiap julat 5 tahun mengikut usia pencarum. Sebagai contoh:

Sesetengah pelan standalone yang menjamin pembaharuan setiap tahun walaupun pencarum menghidapi penyakit sebelum tarikh pembaharuan. Ini suatu tawaran yang perlu dititik beratkan ketika membuat pilihan sesebuah pelan perubatan.

Bayangkan jika anda memiliki pelan yang tidak menjamin pembaharuan ketika didiagnos sesuatu penyakit. Syarikat insurans anda mempunyai hak tidak memperbaharui pelan anda bagi tahun akan datang. Bukan sahaja anda tidak lagi mempunyai perlindungan perubatan dari syarikat tersebut, tetapi kini anda akan menghadapi kesukaran memohon perlindungan daripada syarikat lain kerana risiko penyakit anda.

Jadi ketika memilih pelan, pastikan ejen anda tunjukkan terma dan syarat yang menyatakan pembaharuan dijamin.

 

Apa itu kad perubatan rider?

Kad perubatan rider adalah suatu pelan di mana perlindungan perubatan adalah sekadar pelan tambahan kepada pelan induk. Selalunya ianya pelan tambahan kepada polisi hayat, atau pelan jenis simpanan atau pelaburan. Jadi perlindungan yang didapati daripada pelan rider adalah:

1. Pelan hayat/ simpanan

Ini perlindungan yang sesuai bagi mereka yang ingin menjamin kesejahteraan keluarga mereka dari segi kewangan akibat musibah yang berlaku ke atas diri mereka, seperti kematian atau kecacatan.

2. Rider – pelan perubatan

Pelan perubatan berbentuk tambahan boleh disertakan bersama pelan induk berbentuk perlindungan hayat atau simpanan/ pelaburan (investment linked). Ia boleh meliputi perlindungan bagi kos perubatan seperti pembedahan, kos bilik dan penginapan, rawatan dan sebagainya, mengikut jenis pelan yang dipilih.

Sumbangan bagi pelan sebegini diagihkan kepada dua bahagian. Satu bahagian terhadap perlindungan hayat dan perubatan (tabarru) manakala satu bahagian lagi bagi tujuan pelaburan.

 

Kadar Sumbangan dan Pembaharuan Pelan Rider

Jika dibandingkan harga pelan perubatan rider sahaja dengan pelan perubatan standalone, pelan rider adalah lebih rendah. Tetapi kerana pelan rider perlu didapatkan berserta dengan pelan induk, harganya tidak lagi serendah yang diharapkan pada mulanya.

Tetapi keistimewaan pelan jenis ini adalah kadar sumbangan tahunannya adalah tetap (dengan hanya sedikit peningkatan). Contohnya, sekiranya anda mula mencarum pada usia 40 dengan kadar RM 3,000 setahun, kadar caruman anda pada usia 60 mungkin sebanyak RM 3,300. Peningkatan kadar caruman bukanlah di atas faktor usia seperti bagi pelan standalone, tetapi faktor inflasi perubatan.

Pada kebiasaannya, pembaharuan pelan rider adalah terjamin walaupun pencarum menghidapi penyakit, kerana ia berdasarkan pelan induk. Walau bagaimanapun, anda masih tetap dinasihatkan agar mendapatkan kepastian daripada ejen anda.

 

Perbandingan di antara Pelan Rider dan Standalone

Kedua-dua pelan memiliki kelebihan masing-masing. Seperti dikatakan di atas, harga bagi perlindungan perubatan rider mungkin dilihat lebih rendah tetapi ianya tidak boleh didapati berasingan daripada pelan induk. Untuk mendapatkanya, perlulah juga dapatkan pelan hayat atau pelan berkaitan pelaburan yang akan mengakibatkan kadar sumbangan bertambah. Akan tetapi ianya amat sesuai bagi mereka yang belum miliki pelan hayat atau yang ingin mendapatkan pulangan dari segi nilai tunai daripada sumbangan mereka.

Pelan standalone pula memberikan perlindungan perubatan yang komprehensif kepada pencarum dan mungkin lebih sesuai bagi mereka yang hanya ingin mendapatkan manfaat perubataan semata-mata tanpa ingin membayar lebih bagi perlindungan lain serta nilai tunai. Mereka yang mahir tentang pelaburan lebih gemar memilih cara pelaburan mereka sendiri yang memberikan pulangan lebih lumayan.

Sebelum membuat keputusan anda, dapatkan nasihat beberapa perunding atau ejen insurans dan takaful dan bandingkan beberapa produk terlebih dahulu. Pastikan anda bertanyakan soalan-soalan seperti jaminan pembaharuan, kadar sumbangan tahunan, serta jenis liputan perlindungan perubatan.

Untuk dapatkan maklumat lebih mengenai kad perubatan, rujuk artikle ini.

 

3,378 total views, 18 views today