Bagaimanakah cara untuk cari ejen takaful yang best

Ramai rakyat Malaysia yang sering merungut tentang perkhidmatan ejen takaful atau insurans mereka. Begitu juga dengan saya yang pernah mengalami pengalaman yang kurang menyenangkan tidak lama dulu. Ejen lenyap setelah berjaya menjual beberapa polisi kepada saya dan beberapa ahli keluarga saya , sehinggakan 2 polisi saya terbatal akibat melepasi tarikh luput pembaharuan tanpa langsung diingatkan oleh ejen tersebut. Saya tidak lah menyalahkan ejen tu 100% sebab sememangnya adalah tanggungjawab pemegang polisi untuk pastikan polisi dibaharui sebelum tarikh luput. Tapi alangkah baiknya kalau saya diberi peringatan oleh ejen tersebut untuk membuat pembaharuan (renewal) polisi bila hampir tiba tarikh luput.

Namun, itu dulu. Kini ejen-ejen takaful dan insurans lebih peka dengan kehendak pelanggan dan bersikap profesional dalam menawarkan perkhidmatan. . Zaman sudah berubah, pengguna semakin matang membuat pilihan. Mereka juga menyedari hak mereka sebagai klien/pelanggan. Bagi ejen pula, industri semakin dinamik dan saingan semakin sengit. Sekiranya mereka tidak berikan mutu perkhidmatan yang terbaik, mereka akan kerugian.

Jadi apakah caranya?

  1. Rakan sendiri
  2. Minta kenalan syorkan ejen yang mereka percayai
  3. Testimonial dan ulasan
  4. Salesman vs. Bukan salesman
  5. Lulus ujian

 

cari ejen takaful

Mulakan dengan rakan sendiri. Adakah ejen takaful di kalangan mereka?

 

1. Rakan sendiri

Mungkin ada di kalangan rakan kita sebenarnya ejen takaful, cuma mereka tidak iklankan diri mereka. Kelebihan kalau ejen adalah rakan sendiri ialah kita dah kenal hati budinya. Kalau ada antara rakan anda ejen takaful tetapi anda kurang senang dengannya, tak perlu lah rasa terpaksa untuk melantiknya sebagai ejen anda.

 

2. Minta kenalan syorkan ejen yang mereka percayai

Ramai yang bertuah di mana mereka mempunyai ejen takaful yang cekap dan boleh dipercayai. Jadi jangan segan bertanya, mungkin mereka dapat rekomen seseorang. Kalau ada yang sudah rekomenkan ejen mereka kepada anda, jangan pula terus saja ambil mereka sebagai ejen tanpa usul periksa. Masih perlu siasat dahulu. Tanya bagaimana mereka kenal ejen mereka, bagaimana mutu perkhidmatan mereka, dan apa yang istimewa tentang mereka.

 

3. Testimoni dan ulasan

Kita sering melihat testimoni rakan kita di Facebook mengenai sesuatu perkhidmatan atau produk. Ada juga yang baik hati dan berbuat demikian pada ejen takaful dan insurans mereka di laman Facebook mereka. Cara lain untuk dapatkan ejen yang bagus melalui testimoni pelanggan ialah melalui direktori ejen insurans dan takaful seperti yang disediakan oleh iBanding. Di sini lagi senang untuk cari ejen takaful yang memang bermutu tinggi kerana ada sistem nilai 5 bintang dan ulasan pelanggan.

 

screenshot-2016-12-25-00-25-47

Keistimewaan direktori ejen iBanding: Sistem penilaian 5 bintang yang diberikan oleh pelanggan atas mutu perkhidmatan ejen insurans dan takaful

 

4. Salesman vs. Bukan salesman

Setelah mendapat contact ejen, buatlah appointment jumpa di kedai kopi (ini kebiasaannya lah). Nak kenali ejen yang menyediakan perkhidmatan bermutu tinggi, pastikan anda kenali sama ada mereka jenis salesman atau tidak. Jenis salesman senang dicam. Mereka beriya-iya mempromosikan produk mereka tanpa memahami keperluan anda dengan jelas dan ikhlas. Ejen yang bagus mengutamakan keperluan dan kehendak pelanggan, bukan komisen dan sales mereka. Untuk memahami keperluan pelanggan, mereka perlu banyak bertanya tentang situasi pelanggan sebelum dapat mengesyorkan produk yang bersesuaian.

 

5. Lulus ujian

Memang mereka ni dah lulus ujian jika nak jadi ejen. Maksud ujian di sini ialah ujian yang kita beri kepada mereka. Ujian ni termasuklah:

A) Pengetahuan

Ejen perlulah mempunyai pengetahuan yang menyeluruh tentang takaful secara amnya, dan polisi yang dibeli secara khususnya. Ini penting kerana ramai pemegang polisi yang merungut ketika hendak buat tuntutan, ianya ditolak tetapi mereka tidak faham mengapa. Kadang-kala ianya disebabkan ejen yang kurang mahir tentang produk yang mereka jual. Ini menyebabkan syarat-syarat tidak diterangkan kepada pelanggan dengan jelas. Ejen yang berpengetahuan dapat menjawab soalan-soalan dan kekeliruan tentang polisi, prosedur tuntutan dan macam-macam lagi soalan berkenaan takaful kita. Ejen yang berpengetahuan juga amat penting kerana mereka dapat mensyorkan polisi yang paling sesuai mengikut keperluan dan kemampuan pelanggan.

B) Kemahiran berinteraksi dan people skill

Biasanya hubungan kita sebagai pelanggan dengan ejen kita adalah berjangka-masa panjang. Jadi perlulah pandai memilih ejen. Seeloknya biarlah beliau seorang yang menyenangkan hati kita, yang penyabar dalam menangani soalan-soalan kita dan kerenah kita sebagai pelanggan, yang ikhlas dan jujur. Tapi jangan lah pulak kita ambil kesempatan ke atas sifat baik ejen ni. Sesetengah dari mereka memang banyak berkorban untuk pelanggan mereka.

C) Pengalaman

Ejen yang berpengalaman penting kerana beliau telah banyak melalui pelbagai situasi dan kes-kes tuntutan. Maka beliau lebih cekap mengendali dan menguruskan tuntutan sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini.

Tapi jangan lupa, sebelum dapat uji ejen, kita sendiri perlulah bersiap-sedia dengan soalan-soalan yang sesuai. Jadi kenalah lakukan sedikit research tentang takaful dan apa sebenarnya yang anda inginkan dari polisi takaful.

 

Anda ada tips atau cara lain untuk pastikan pengguna dapat ejen takaful dan insurans yang hebat? Kongsikan bersama pembaca lain. Emelkan kisah atau tips anda kepada kami di [email protected]