Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, apabila bebanan ekonomi mula dirasai, mereka mula korbankan sesuatu daripada perbelanjaan mereka yang dianggap tidak penting. Malangnya insurans dan Takaful perlindungan sering jadi salah satu daripada yang dikorbankan. Jadi di sini wajar kita lihat cara-cara bagaimana kita boleh mengurangkan atau menjimatkan kos insurans dan Takaful perlindungan kita dengan harapan ia tidaklah dikorbankan semasa kita menghadapi sedikit kesempitan.

 

7 cara untuk jimat kos insurans

1. Lebih cepat, lebih baik

Kami sering menasihatkan pembaca di sini agar mendapatkan perlindungan insurans dan Takaful seawal yang mungkin, terutama sekali bagi perlindungan hayat dan perubatan. Jika kita membeli perlindungan ini di usia muda iaitu di ketika risiko kita menghidapi panyakit masih rendah, kadar premium yang dikenakan juga rendah. Dan setelah kita membeli polisi dari sesebuah syarikat, syarikat itu tidak lagi boleh menambahkan exclusion atau pengecualian di dalam polisi anda untuk penyakit yang mungkin anda hidapi kelak ketika masih di bawah perlindungan syarikat tersebut.

 

jimat kos insurans

Jangan tunggu terlalu lama untuk membeli insurans.

 

2. Dapatkan diskaun anda

Sesetengah syarikat insurans dan Takaful memberikan diskaun jika anda membeli lebih daripada satu polisi. Jadi jika anda bercadang membeli polisi bagi keluarga anda, seperti kedua ibu-bapa dan isteri anda, dapatkan syarikat yang menawarkan diskaun sebegini. Tanya dahulu kepada ejen samada syarikat mereka memberi diskaun jika anda membeli lebih dari satu polisi.

 

3. Dapatkan hanya apa yang diperlukan

Jimatkan kos dengan mengelakkan membeli sesuatu perlindungan yang tidak anda perlukan. Sebelum membeli mana-mana polisi, fahami dahulu jenis dan jumlah perlindungan yang anda perlukan agar anda tidak mudah dipengaruhi oleh apa yang ditawarkan. Jika majikan anda sudahpun menyediakan skim perlindungan bagi pekerja, ketahui dengan terperinci kandungan skim perlindungan agar anda tidak perlu lagi mendapatkan perlindungan yang sama.

Jika anda membeli insurans bagi kenderaan anda pula, ketahui jumlah perlindungannya. Adakah ianya bersesuaian atau lebih tinggi dari nilai kenderaan anda. Terlebih insurans (over insurance) sering berlaku tanpa disedari oleh pembeli atau pemegang polisi. Ini menyebabkan harga premium lebih tinggi. Juga masalah akan timbul ketika membuat tuntutan di mana jika jumlah perlindungan adalah terlalu tinggi, pihak syarikat insurans mungkin akan melakukan penyiasatan ke atas pemegang polisi atas sebab penipuan.

Anda boleh periksa nilai kenderaan anda dengan percuma di sini: MyCarInfo

 

4. Lakukan perbandingan

Sebelum membeli mana-mana polisi dari sesebuah syarikat, lihat-lihat dahulu polisi yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat lain. Bukan sekadar untuk membanding harga. Kerana bagi tujuan perlindungan, yang termurah tidak bererti yang terbaik untuk anda. Jadi mulakan dengan mengetahui jenis perlindungan yang anda perlukan kemudian bandingkan polisi untuk mendapatkan yang paling sesuai mengikut keperluan dan juga bajet anda.

Dengan pelaksanaan liberalisasi tariff insurans kenderaan di bulan Julai 2017 di mana harga insurans kenderaan tidak lagi dikawal oleh pihak kerajaan, pengguna Malaysia dinasihatkan agar ambil langkah yang lebih cermat dalam membeli insurans kenderaan kerana harga yang ditawarkan nanti akan berbeza-beza. Perbandingan jenis perlindungan dan harga perlukan diambil serius.

 

jimat kos insurans

Buat perbandingan sebelum membeli mana-mana polisi.

 

5. Ambil kesempatan di atas bonus pembaharuan polisi dan tiada tuntutan

Banyak syarikat insurans yang menawarkan bonus dan ganjaran ketika anda membuat pembaharuan polisi dan juga jika tiada tuntutan yang pernah dilakukan. Jadi ketika anda memilih polisi dan syarikat, tanyakan dahulu jika mereka tawarkan bonus seperti ini.

Perlindungan hayat dan perubatan

Polisi perubatan Syarikat Takaful Malaysia, myHealth Protector contohnya menawarkan 15% rebat jika anda tidak lakukan sebarang tuntutan bagi tempoh polisi sebelumnya. Manakala Allianz Medical Insurance Medisafe Infinite pula menawarkan No Claims Rewards yang menambahkan manfaat kemudahan room & board jika tiada tuntutan bagi sesuatu masa.

Insurans am

Ramai yang sudah biasa dengan NCD bagi insurans kenderaan. Diskaun NDC ini diberi ketika pembaharuan jika tiada tuntutan dilakukan bagi 12 bulan jangka masa polisi sebelumnya. Jika anda ada melakukan tuntutan, tidak kiralah betapa kecil jumlahnya sekalipun, anda akan kehilangan NCD anda. Jadi untuk jimatkan kos insurans anda, hati-hati ketika membuat tuntutan. Adakalanya lebih berbaloi jika kos pembaikan kereta dibayar sendiri.
Fahami NCD dengan video di bawah:

 

 

6. Pelihara dengan baik

Jika boleh, elakkan membuat tuntutan kerana tuntutan akan mengecualikan anda dari menikmati bonus tertentu dan menyebabkan kos insurans bertambah, seperti contoh-contoh di atas. Jadi elakkan diri dari terlibat dari kemalangan yang boleh dihindari. Pandu dengan berhati-hati dan sentiasa pastikan kenderaan anda dikunci dengan selamat agar tidak dicuri. Sama jugalah dengan kesihatan anda! Perlu dijaga dengan baik. Amalkan pemakanan dan cara hidup sihat.

 

Jimat kos insurans

Tuntutan ke atas polisi anda akan tingkatkan kadar premium anda. Jadi pelihara harta benda dan kesihatan anda dengan baik.

 

7. Dapatkan ejen yang jujur dan berpengalaman

Seorang ejen yang jujur mengutamakan keperluan pelanggannya. Manakala pengalamannya pula boleh membantu pelanggannya mendapatkan tawaran yang terbaik. Waspada akan ejen yang bersikap “salesman” yang selalunya mementingkan komisyennya maka produk insurans yang disyorkan mungkin melebihi apa yang diperlukan. Jadi pastikan anda betul-betul yakin dan puas hati dengan ejen anda sebelum membuat keputusan membeli darinya. Tidak salahnya bertemu dengan beberapa ejen sebelum membuat keputusan. Jika anda sedang mencari ejen yang boleh anda percayai, cuba direktori ejen iBanding di sini. Sistem nilai bintang dan ulasan pelanggan dapat memberi gambaran mutu perkhidmatan ejen di direktori ini.

 

 

 

12,857 total views, 6 views today

Spread the love
  • 17
    Shares
  • 17
    Shares